Assalamu'alaikum saudara seaqidah ku sekalian, artikel ini ana sajikan untuk diri dan antum semua. Tarbiyah merupakan elemen yang penting dalam diri, demi menjadikan diri lebih taat dan bersemangat untuk meneruskan hidup. Namun begitu, kita perlu tahu akan cara menyusun tarbiya, sama ada untuk diri mahupun orang lain. Sehubungan dengan itulah ana sajikan artikel ini. Mulakan bacaanmu dengan Nama Tuhan yang Maha Esa...

Beberapa panduan perlu diperhatikan dalam menyusun program tarbiyah. Memandangkan sebahagian besar peserta tarbiyah terdiri daripada golongan dewasa, pendekatan tarbiyah perlu didasari oleh kefahaman terhadap psikologi dan gelagat golongan dewasa. Ini juga bererti ukuran kejayaan dan keberkesanan tidak boleh bersifat stereotaip.

Alam pelajar di bangku persekolahan atau pusat-pusat pengajian tinggi telah berlalu bagi kebanyakan golongan dewasa. Idealisme, kehidupan terfokus dan dimensi hidup yang belum begitu luas biasanya melahirkan satu kefahaman dan satu model pelaksanaan tarbiyah. Namun demikian, kita perlu menyedari bahawa idealisme ini telah berubah kepada satu yang lebih seimbang dan realistik. Dengan itu banyak faktor mendatang seperti profesion, kekeluargaan, tuntutan sosial dan seum-pamanya yang perlu diambil kira dalam menyusun satu program tarbiyah yang berkesan untuk ahli-ahli.

Panduan Penting

Dengan mengambil kira psikologi dan gelagat kita sebagai golongan dewasa, di antara panduan-panduan penting dalam menyusun tarbiyah berkesan adalah seperti berikut:

1. Kecenderungan Mempelajari Sesuatu yang Baru dan Praktik


Kita lebih cenderung untuk mempelajari pengalaman-pengalaman baru secara spesifik. Mengulang-ulang sesuatu kefa-haman secara teori dan konsepsi tanpa nilai praktik biasanya membosankan. Gelagat ini berlaku kerana perubahan cara kehidupan yang kita lalui dalam menangani perkembangan sosial dan kekeluargaan, profesion dan profesionalisme serta peningkatan usia.

Dalam sudut tarbiyah, kecenderungan ini perlu dilihat secara positif dari segi begaimanakah ilmu, kefahaman dan perbincangan yang diisi dalam program tarbiyah dapat dilihat oleh ahli-ahli sebagai persediaan ke arah meng-gerakkan kerja yang praktik. Bentuk-bentuk kerja ini mesti bertepatan dengan misi dan wawasan organisasi. Di samping itu kerja-kerja ini pula mesti wujud dalam bentuk yang ketara dan dapat diukur seperti membina tadika, mengendalikan sekolah, menyusun program rumah anak yatim, melancarkan program kaunseling remaja di peringkat daerah dan seumpamanya.

2. Keinginan Mempelajari Sesuatu yang Baru adalah Berkadar dengan Perubahan Cara Kehidupan


Kita juga bertambah cenderung untuk mempelajari sesuatu yang baru dalam konteks relevannya perkara tersebut dengan kehidupan harian kita. Secara tabii, kita lebih bersedia memberi tumpuan dalam mempelajari sesuatu yang dapat membantu secara langsung kehidupan kita. Lapan puluh hingga sembilan puluh peratus daripada golongan dewasa mempelajari sesuatu ilmu kerana ingin menggunakan ilmu atau kepakaran yang dipelajari. Ini bererti lebih banyak perubahan cara kehidupan yang kita alami, maka akan bertambah pula kita terdorong untuk mencari peluang bagi meningkatkan kompetensi diri ke arah kecemerlangan banyak didorong oleh sesuatu yang mendefinisikan peranan dan tugas dalam kehidupan harian.

Tidak dapat dinafikan bahawa profesion adalah sesuatu yang penting dan menjadi tumpuan kehidupan kita semua. Secara umum, sebagai pendakwah profesion kita adalah dakwah tetapi perlu diingat hanya segelintir sahaja di kalangan kita yang berpeluang untuk menjadikan dakwah sebagai profesionnya sepenuh masa. Kita memberi masa yang begitu besar terhadap tugas-tugas harian profe-sion kita. Dengan itu tidak dapat tidak profesion tersebutlah yang men-dasari pemikiran kita tentang pengertian dan tuntutan pe-ningkatan kompe-tensi dan kecemerlangan.

Oleh kerana kita tidak mengik-tiraf dikotomi dalam pengertian ibadah, maka amat-lah wajar program tarbiyah dilihat dari-pada sudut bagaimana ia mampu menjadikan tahap-tahap perubahan hidup kita sebagai satu yang sah dan realistik, bukan menidak ataupun menafikannya. Ini bererti program tarbiyah mesti dipaksikan di atas prinsip mengisi asas-asas pokok yang tidak boleh tidak, wajib dilaksanakan seperti pengukuhan iman, pembersihan hati, peningkatan akhlaq serta pembinaan fikrah Islamiyah yang sahih. Tetapi dalam masa yang sama program tarbiyah mesti membuka ruang seluas-luasnya bagi meningkatnya segala minat dan kecenderungan bagi membolehkan penglibatan yang luas daripada semua pihak menurut minat dan bidang masing-masing. Yang penting asalkan keluasan bidang ini semuanya dapat dijuruskan bagi meningkatkan amal dakwah ahli-ahli sama ada melalui wadah JIM ataupun saluran-saluran dakwah yang lain bersesuaian dengan keadaan ahli-ahli tadi.

3. Penguasaan Kemahiran Baru Biasanya Memberikan Kepuasan


Sebagai golongan yang peka terhadap prestasi, kecemerlangan serta kewibawaan diri, kita merasakan satu kepuasan di atas pencapaian yang kita alami. Ini benar sama ada yang dicapai itu kejayaan berbentuk ganjaran yang jelas ataupun pencapaian di segi penguasaan sesuatu ilmu atau kemahiran baru.

Memandangkan kefahaman kita ter-hadap konsep ikhlas dalam amal, adalah semestinya rasa kepuasan itu ditunjangi oleh rasa syukur atas anugerah Allah taala. Ini bererti. program tarbiyah hendaklah dilaksanakan sebagai satu proses berterusan agar ia merupakan satu proses yang bertujuan untuk terus menerus meningkatkan kemahiran seseorang ahli dalam ia menyempurnakan peranannya sebagai mukmin dan mukminah yang berbakti kepada Khaliqnya, berkhidmat kepada Ad-Din, berjasa kepada ummah dan mampu memberi sumbangan dan mampu memberi sumbangan positif kepada organisasi.

Dengan jelas, program tarbiyah yang berkesan adalah sesuatu yang mampu meningkatkan ahli ke tahap di mana ia benar-benar mempunyai keyakinan diri bahawa ia telah memberi sesuatu sumbangan yang bermakna kepada Islam, ummah dan organisasi sendiri.

Mengolah Bahan Tarbiyah Yang Berkesan


Program tarbiyah mesti diasaskan di atas pembinaan iman, akhlak dan kefahaman. Dalam proses itu program tarbiyyah juga semestinya mewujudkan suasana ukhuwwah dan mahabbah di kalangan ahli-ahli. Ini merupakan salah satu objektif program tarbiyah.

Walau bagaimanapun, kedua-dua perkataan ini hanyalah pra-syarat ke arah objektif tarbiyah yang lebih luas, iaitu menggerakkan ahli-ahli kepada amal dan pencapaian strategi dakwah. Ini bererti bahawa, di samping bahan-bahan asas seperti Tafsir Al-Quran, syarah Al-Hadits, ilmu Aqidah, ilmu Akhlaq, ilmu Dakwah dan yang seumpamanya, bahan-bahan lain yang mampu menggerakkan ahli-ahli kepada amal adalah sesuatu yang amal mustahak.

Proses pentarbiyahan yang melibatkan golongan dewasa memerlukan penelitian yang rapi di segi pengolahan bahan tarbiyah yang seimbang dan berkesan. Di antara panduan penting dalam mengolah bahan tarbiyah golongan dewasa adalah seperti berikut:

1. Golongan dewasa lebih berminat kepada bahan-bahan khusus yang berkaitan dengan tugas yang hendak dilaksanakan serta pengetahuan dan kefahaman yang berkaitan dengan masalah-masalah yang dihadapi.

2. Golongan dewasa lebih cenderung untuk menyepadukan idea-idea baru dengan idea-idea yang telah sedia kita miliki.

3. Bahan-bahan atau maklumat yang bercanggah dengan apa yang telah dipegang sebagai benar memerlukan masa yang lebih untuk diserapkan.

4. Sesuatu kefahaman atau maklumat yang tidak mempunyai perkaitan konsepsi dengan apa yang telah ditanggapi oleh golongan dewasa akan difahami dengan kadar yang perlahan.

5. Sesuatu kefahaman yang memerlukan penghadaman secara perlahan akan diperbaiki melalui mempelajannya secara lebih tepat melalui pengalaman - buat dahulu dan lihat kesannya kemudian.

6. Golongan dewasa biasanya lebih cenderung untuk menganggap kesilapan sebagai sesuatu yang begitu peribadi agar ia tidak menjejaskan kewibawaan diri mereka. Dengan itu biasanya mereka tidak mahu mengambil risiko yang berlebihan dalam mencuba sesuatu yang baru.

7. Dengan kepelbagaian dimensi dan dinamisme kehi-dupan, golongan dewasa lebih suka kepada perbin-cangan yang ditentukan sendiri arah dan temponya. Dengan itu, ada kecenderungan agar mereka sendiri terlibat dan merasa terlibat dalam menentukan bentuk dan bahan perbincangan bagi sesuatu program tarbiyah.

8. Media seperti buku, slide, video dan seumpamanya didapati berkesan dan amat mempengaruhi pembelajaran mereka.

9. Dalam menghadapi realiti hidup harian yang mencabar, mereka lebih gemar ke-pada bahan-bahan yang menjelaskan “Bagai-mana Hendak Melaksanakan Sesuatu”.

10. Golongan dewasa juga boleh menjadi kecewa sekiranya dalam kumpulan yang sedang membincangkan sesuatu pengetahuan dan kefahaman itu terdapat orang-orang yang tidak kompeten dan terlalu lembab.


Dipetik dari buku Bimbingan Tarbiyah oleh Saari Sungib & Aliza Jaafar, ms 43 - 47, terbitan JIM, tahun 1994.