gambar hiasan






Apabila kita menonton sesebuah drama, filem, novel mahu pun cerpen, dalam benak fikiran kita tentu mempersoalkan “siapa hero cerita ini?” Menjadi suatu kelaziman pula, baik pengarang mahu pun penulis akan memastikan si hero itu mestilah seorang yang tampan, segak, bergaya, bertubuh tinggi dan sasa serta mampu melindungi dirinya daripada sebarang ancaman. Di akhir plot cerita, si ‘hero’ berjaya mencapai impiannya.

Begitulah yang digambaran watak ‘hero’ dalam sebuah filem, drama, novel ataupun cerpen. Sebelum penulis mengupas lebih lanjut tentang ‘hero’, adalah lebih baik difahami terlebih dahulu maksud ‘hero’ itu sendiri. Merujuk kamus dewan edisi ketiga (1994) muka surat 452, definisi “Hero:

1. Orang yang terkenal atau disegani kerana keberanian (kegagahan, peribadi yang mulia, dll.

2. Watak lelaki utama dalam cerita drama, filem, dll.”
         
Seorang hero mestilah mempunyai kualiti diri atau jatidiri yang baik. Masyarakat mungkin sedar perkara ini tetapi jatidiri yang baik ini berada di  nombor dua dalam menilai siapakah yang layak menjadi hero. Mungkin juga kurangnya tulisan-tulisan yang memberikan definisi sebenar istilah hero turut menyumbang kepada dangkalnya  pemahaman masyarakat.

Sebagai umat Islam, hero kita yang paling unggul tidak lain ialah Rasulullah S.A.W.  Baginda menempuh pelbagai rintangan dan cabaran demi menegakkan kalimah tauhid Laa IlaahaIllallah. Baginda seorang yang amat sabar dan pemaaf. Pastinya kita ingat tentang sebuah kisah yang menggambarkan betapa sabar dan pemaafnya hero kita, Rasulullah. 

Diriwayatkan bahawa pada zaman Rasulullah ada seorang wanita yahudi yang amat membenci Rasulullah. Setiap kali Rasulullah melalui rumahnya menuju ke masjid, wanita yahudi ini akan membaling baginda dengan pelbagai benda termasuklah najis. Ketika ditanya para sahabat mengapa baginda tidak memilih jalan lain ke masjid, baginda menjawab biarlah kerana dengan berbuat demikian dapat memuaskan dan menyenangkan hatinya. Baginda juga melarang para sahabat menghalang perbuatan wanita yahudi tersebut. Sehinggalah pada suatu hari, wanita yahudi itu tidak lagi melakukan kebiasaannya. Rasulullah berasa hairan lalu baginda mengunjungi kediamannya. Rupa-rupanya wanita yahudi tersebut sedang sakit. Melihat keadaan tersebut , Rasulullah menjaga makan minumnya dan merawatnya sehingga sembuh. Akhirnya wanita Yahudi itu memeluk Islam setelah mengetahui orang yang menjaganya selama ini adalah orang yang sering disakitinya iaitu Rasulullah.Nah! Inilah hero sebenar. Baginda tidak cepat melatah atau bertepuk tangan di atas musibah yang menimpa musuhnya.

Sikap yang ditunjukkan Rasulullah ini pasti berlawanan dengan kita sekarang. Kita pasti akan membalas perbuatan mereka yang menganiayai kita bagi membuktikan kitalah hero dan apabila musuh kita jatuh terduduk, kita akan bertepuk tangan dan berpesta keseronokan. Tindakan ini hanya menjadikan kita hero sementara kerana musuh kita pasti membalas semula perbuatan kita sehinggalah kita juga tewas. Ini akan berterusan tanpa ada kesudahan maka tidak wujudlah hero sebenar.

 gambar hiasan

Hero bukan hanya pahlawan yang gagah di medan peperangan tetapi mereka yang berjaya di dalam bidang mereka juga adalah hero. Seorang doktor yang menyelamatkan nyawa pesakitnya adalah hero, seorang peguam yang memenangi kesnya juga adalah hero, seorang guru yang melahirkan pelajar yang berjaya juga adalah hero. Hakikatnya, kita semua adalah hero kerana daripada berjuta-juta sperma, kita yang terawal memasuki ovum ibu kita.     

Seorang ‘mat rempit’ juga menganggap dirinya hero apabila terlepas daripada buruan polis, seorang otai (ketua samseng) juga menganggap dirinya hero apabila berjaya membelasah orang lain, benarkah begini? Hero bagi anggapan orang seperti ini tidak berkekalan dan kalaupun di dunia pengiktirafan itu diperolehi, ianya hanya dari kaca mata kelompok mereka sahaja. Yang pasti, Allah itu MAHA KUASA yang akan memberi pembalasan yang amat seksa. Bayangkan si ‘Mat Rempit’ ini sedang berjaya melepasi halangan polis tiba – tiba kemalangan dan meninggal dunia? Mana heronya? Hanya yang tinggal sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa, menunggu saat – saat ditimpa azab Allah. Hero kah dia?

Kesimpulannya, bagi pengamatan penulis, ‘Hero’ itu ibarat bintang diangkasa yang cahayanya memberi sinar mempersona. Sebutir bintang itu sudah cukup menyinar cahaya berseri. Biar bertahun masa beredar, namanya tidak akan pudar. Patahnya tidak bertumbuh ganti kerana watak tersendirinya itu menjadikan ia seorang yang terbilang malah boleh di anggap LAGENDA. 



[ Dipetik Dari Ruangan khas Bersama Guru.. ]