gambar hiasan

Assalamu’alaikum w.b.t dan salam ukhuwah setanggi mahabbah. Pertama-tama dan selama-lamanya, syukur yang tidak terhingga ditujukan hanya pada Allah S.W.T kerana Rahmat dan Kasih Sayang-Nya, masih lagi kita dapat berpijak dibumi milik-Nya serta bersama-sama ahli keluarga kita sekali lagi pada hari ini. Semoga antum semua dalam keadaan sihat sejahtera samada zahir dan juga batinnya. InsyaAllah, sihat belaka. Kedua-duanya memerlukan antara satu sama lain, ia perlu seiring agar ia dalam persefahaman dan tiada permusuhan. Hakikatnya kedua-duanya memerlukan Rahmat dan Kasih Sayang dari Ilahi, Pemiliknya, yang menciptanya. Hmm... Rasa-rasanya apa perkongsian ana untuk hari ini ya? Sekejap ya, nak fikir.... InsyaAllah perkongsian ana untuk kali ini adalah ’Sentuhlah Hatimu’. Sebelum ana mulakan, ana minta maaf seandainya dalam posting ana ini mempunyai bahasa yang menyinggung perasaan antum.

Baiklah saudara/i, dalam setiap kehidupan seharian, kita akan sentiasa bersama hati ’kita’. Setiap tindak tanduk kita, kebanyakannya dipengaruhi oleh hati yang terletak dalam diri kita. Bayangkan ketika itu hati kita dalam keadaan yang tidak tenang, boleh jadi huru hara, keputusan kita dipengaruhi oleh perasaan, mungkin boleh memudaratkan diri dan lebih buruk lagi berjangkit pada orang lain. Sekiranya hati kita baik maka baiklah tindak-tanduk kita, dan buruklah jika sebaliknya.

Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya: ” Dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badanya, tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."

(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)

Hati kita umpama nakhoda dalam sebuah kapal, sekiranya nakhoda dalam sebuah kapal tidak dapat mengawal diri atau tidak bermaya dalam erti lain sakit, sudah tentu anak buahnya akan tunggang langgang, tidak tahu apa yang perlu dilakukan, maka binasalah seluruhnya. Saudara/i, takut sekali bagi ana sekiranya hati ana begitu rupa, ana takut hati sebegini rupa. Ana yakin, antum pun rasa begitu juga kan? Ya? Alhamdulillah, Antum ni memang insan yang amat mengambil berat akan keadaan hatinya lah,cemburu ana pada antum. Hati kita, hanya kita dan Allah yang tahu akan keadaannya, jadi siapa yang boleh menyentuhnya? Tentulah kita dengan izin dari Allah S.W.T, tanpa keizinan-Nya sudah tentu kita tidak dapat merawat hati kita. Sentuhlah ia, sentuhlah hati kita dengan penuh kasih sayang dan pengharapan pada Allah S.W.T. kerana dari situlah akan lahir kelembutan hati untuk didekati. Seperti mana mudahnya raja rimba untuk didekati apabila ia jinak, dan bila ia jinak mudah pula untuk kita melatihnya dengan acuan yang kita mahu.

Saudara/i, untuk kita menyentuh hati kita bukan mengambil masa yang singkat untuk berjaya mendekatinya, walaupun begitu kita perlu bersabar, tabah dan jangan berputusa asa untuk terus cuba menyentuh dan mendekatinya kerana itulah kuncinya. Dan jangan lupa untuk berdoa pada PEMILIK-nya, agar hati kita mudah disentuh serta di lembutkan. Apa yang ana katakan bukanlah sekadar perkongsian, tapi ini juga merupakan reflexsi diri ana yang penuh dengan noda dan memerlukan usaha dan komitmen yang penuh dalam menyentuh hati sendiri. Kenapa? Seikhlasnya dan hanya Allah yang tahu akan akan ikhlas, apa yang ana cuba sampaikan adalah motivasi buat diri yang begitu lemah tanpa Allah S.W.T. Oleh itu saudara/i, janganlah kita biarkan hati kita keseorangan tanpa teman, kerana ia akan mudah lemah diserang penyakit.  Kita kena jadi iman sebagai temannya, apabila iman jadi temannya maka ia akan menyentuh hatimu. Ya benar, mudah untuk mulut menuturkan begitu. Apa yang ana katakan adalah luahan rasa hati. Sahabat, tahukah bertapa pedihnya hati, apabila ia penuh dengan noda dan ketika ia kelam dengan dosa? Pedihnya amat terasa. Jadi ia memerlukan sentuhan agar ia dapat bertahan dan sentiasa dalam basahan zikrullah. Supaya ada ketenangan dalam hati yang bertakhta.

Saudara/i, noda dihati bukan sedikit, tiap titiknya menghijab pandangannya. Pandangan apa? Pandangan mata hatimu, tahukah antum mata hati (basirah) itu yang utama dalam diri seseorang, apabila ia celik maka cerahlah setiap tindakannya. Maka setiap apa yang datang kepadanya, samada baik ataupun buruk tiadalah ia keterlihatan akan ketidakpuasan hatinya, apa yang terlihat darinya adalah kesyukuran. Mata hati yang bersih itu datang dari hati yang sentiasa disentuh dengan rasa syukur dalam roh kehambaan pada Rabb-nya. Ia tahu tanpa Al-Khaliq, ia tidak dapat melakukan apa-apa pun.  Sepertimana kata-kata oleh Ibnu Athoillah dalam kitab tersohornya al-hikam

Sinaran al-basirah (yakni cahaya dari penglihatan mata hati) mempersaksikan kepadamu akan kedekatanNya denganmu.

Dan esensi al-basirah (yakni penglihatan mata hati itu sendiri) mempersaksikan kepadamu akan ketidakwujudanmu kerana kewujudanNya.

Dan haqq al-basirah (yakni kebenaran dari penglihatan mata hati itu pula) mempersaksikan kepadamu akan kewujudanNya [semata-mata], bukan ketidakwujudanmu dan bukan juga kewujudanmu.


[Al-Hikam: 36]

Itu berlaku sekiranya mata hati kita celik dan tidak terhijab. Saudara/i, apalah gunanya celik mata tapi buta didalamnya. Tiadalah pertimbangan yang baik tatkala ia buta akibat hati yang sekian lama gersang tanpa dibajai dan dibelai dengan penuh kesabaran dan ketabahan ditambah dengan rasa syukur, ia akan mudah untuk bertindak balas tanpa dipandu oleh pertimbangan yang bernas lagi bersih. Orang yang buta yang celik mata hatinya lebih baik dari orang yang celik tapi buta mata hatinya, tetapi orang yang celik kedua-duanya lebih baik dari yang buta salah satunya. Jadi, kita kena dekati hati kita, jadikan iman sebagai sahabatnya. insyaAllah mudah ia untuk menjadi lembut. Sentiasalah cuba untuk menangis ketika membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, kerana apabila ia selalu berlaku dalam perkara tersebut, insyaAllah sedikit demi sedikit akan menjadi lembut dan mudah untuk didekati. Jagalah hatimu dan imanmu kerana ia lebih berharga dari emas setinggi gunung mahupun harta seluas tujuh lautan. Tanpa ia dimana kita disisi-Nya?

Ana rasa cukuplah sampai disini perkonsian ana untuk kali ini. Kemaafan ana harapkan sekiranya ada kekasaran dalam berbahasa serta dalam menyampaikan hasrat hati. Tegurlah ana atas kelemahan ana, hakikatnya inilah ana. Seorang hamba yang lemah lagi memerlukan pertolongan dari Al-Khaliq dalam mencari sinar iman dan kebahagian hati yang bertahkta dalam diri. Wallahu’alam.