Rawatlah hati dengan sifat pemurah, Ia merupakan amalan yang amat mulia. Mengapa pula tidak! Ramai orang yang gemar menerima, tetapi untuk mencari orang yang suka memberi atau pemurah bagai mencari mutiara yang berada di dasar lautan. Kebanyakan manusia pada zaman ini sukar untuk memberi kepada yang memerlukan, ini kerana takut hartanya habis juga terlalu sayang akan harta yang dimiliki oleh mereka. Mungkin ada juga yang berfikir `buat apa nak beri harta aku pada orang lain sedangkan aku bekerja untuk mendapatkan harta ini, kalau nak, carilah sendiri’, mereka berfikir yang harta hanya untuk mereka sahaja. Bukan ana nak bersangka buruk, tetapi sekadar untuk membuat contohnya. Cuba bayangkan, seandainya perasaan ini bertandan dalam hati, tidakkah boleh membuatkan hati kita keras dan terlalu susah untuk melakukan kebaikan? Inilah merupakan salah satu yang menyebabkan hati dalam kekelaman, cinta akan dunia juga dikatakan sifat bakhil. Allah tidak suka pada hamba-Nya yang bakhil, sesunggunya tiada yang memanfaatkan diri kita sekiranya kita terus menerus untuk berfikiran begitu rupa, ketahuilah azab yang pedih menanti pada yang bakhil dalam hidupnya.

Firman Allah s.w.t.
“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan hartabenda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhil itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan di kalungkan (diseksa) dengan apa yang dibakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah ‘Ali-Imran:180)

Namun, kebanyakannya ramai yang tidak tahu erti sedekah yang sebenarnya. Mereka hanya tahu sekiranya yang berkaitan dengan sedekah atau memberi itu dengan memberi hartanya sahaja. Inilah sebabnya ramai yang sukar untuk memberi. Sebenarnya sedekah itu bukan sahaja dengan hanya memberi atau menyedekahkan harta kepada orang lain, tapi segalanya yang dapat dan mampu kita beri, sama ada tenaga, hati, perbuatan dan banyak lagi. Zikir juga merupakan sedekah.

Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil juga adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah...”
(Riwayat muslim)

Bukan setakat itu sahaja, ucapan yang baik juga merupakan sedekah, contohnya memberi salam, mengajak manusia ke arah kebaikan dan menegah daripada kemungkaran, berlemah lembut sewaktu bercakap dan tidak mengguris hati orang lain serta.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Perkataan yang baik adalah sedekah.”
(Riwayat al-Bukhari)

Sedangkan dengan hanya senyum kepada saudara kita sahaja sudah dikatakan sedekah.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Inilah yang dikatakan dengan sifat pemurah, konsepnya amat luas untuk diketahui. Bila kita sentiasa mengamalkan sifat pemurah, Insya Allah hati akan mudah untuk merasa bahagia, hati mudah untuk bebas dari sifat riya’, bangga diri dan cinta dunia. Kebanyakkan manusia pada masa sekarang yang terlalu cinta akan harta mereka, inilah juga salah satu yang menyebabkan sifat bakhil. Ubatnya adalah sedekah.

Syeikh Abdul Kadir al-Jailani berkata:

“Kamu boleh biarkan dunia berdiri di hadapan pintu hati kamu. Tetapi jangan sekali-kali biarkan ia masuk, kerana dunia tidak membawa kehormatan bagi kamu.”

Oleh itu, sentiasalah memberi dan bersedekah, kerana ia mengubat hati yang sakit. Ia juga merupakan salah satu yang akan dihitung ketika akhirat nanti, jangan takut untuk memberi, jadilah orang yang pemurah.

Engkau bangga apa yang engkau miliki,
Hingga engkau lupa akan hakikat diri,
Mudah sungguh engkau lalai akan nikmat Tuhan,
Dibawa arus dek kemewahan,

Hatimu tertarik pada yang sementara,
Membuai diri yang leka,
Suka engkau mencari pada yang tiada mentari,
Menjauhkan dirimu dari Ilahi

Bukan ingin mahu memaki hamun,
Sekadar untuk menjadi insan yang perihatin,
Bukan pula ingin menghina,
Ketahuilah hidup didunia tiada keabadiannya,